5 Tip Buat Sesi Membaca Di Rumah oleh Cikgu Ib
5 Tip Buat Sesi Membaca Di Rumah oleh Ibtihaj Saian (Cikgu Ib)
1) Pilih buku ikut kegemaran anak.
Anak suka kucing? Anak suka pelangi? Mungkin dengan memilih buku yang berkaitan dengan kesukaan anak agar dia lebih berminat. Bagi anak yang memang terus berminat membaca, tiada masalah. Malah boleh tambahkan koleksi bacaannya.
Lebih baik jika anak sendiri pilih buku di kedai atau pesta buku yang dilawati. Ini contoh buku cerita bergambar kanak-kanak yang didapati daripada Big Bad Wolf. Mahu tahu berkenaan buku cerita bergambar? Pada lain masa kita cerita.
2. Masa yang sesuai amat membantu.
Jika ibu atau bapa terlalu sibuk bekerja, peruntukan sedikit masa sebelum tidur, selepas Subuh pada hari cuti atau selepas Solat Maghrib untuk sesi baca bersama. Pastikan anak dan ibu bapa sendiri selesa. Sesi ini boleh diadakan dengan beberapa cara. Ia bergantung kepada umur, tahap dan kecenderungan anak masing-masing.
- Ibu atau bapa menyatakan kisah daripada buku tersebut. Boleh secara ringkas dan gambar-gambar sahaja ditunjukkan.
- Buku cerita dibacakan kepada anak. Anak duduk di sebelah ibu atau bapa.
- Ibu atau bapa dan anak membaca kuat buku bersama-sama.
- Buku cerita dibaca kuat oleh anak. Ibu atau bapa mendengar.
Paling menarik, lama-kelamaan ibu bapa dan anak akan ada buku kegemaran bersama-sama!
3. Biar sedikit masa diambil tetapi konsisten.
Jika kita amat menyukai sesuatu, kita tentu akan memperuntukkan masa untuknya (Make time for it). Peruntukkan masa membaca secara berkala di rumah. Tidak semestinya ia sesi ‘baca bersama’ setiap waktu. Ia boleh jadi semua orang membaca buku masing-masing dalam masa yang sama! Kemudian lebih seronok jika ada snek dan air yang sedap!
4. Bawa ke sesi bercerita atau ‘read aloud‘.
Mendapat pendedahan dengan kisah yang menarik adalah satu bantuan tambahan daripada luar. Ada beberapa pihak atau badan yang mengadakan sesi begini. Ada yang percuma, ada juga berbayar. Contoh yang percuma adalah di Perbadanan Perpustakaan Alam Selangor (PPAS) Shah Alam terutama semasa cuti sekolah. Rujuk laman Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor untuk mendapatkan hebahan terkini.
Sesi sebegini biasanya dikendalikan oleh fasilitator yang memang minat dan tahu berkenaan buku yang sesuai untuk kanak-kanak. Ibu bapa boleh mendapatkan idea daripada mereka. Selepas sesi, carilah buku yang digunakan atau buku yang seumpamanya.
5. Wujudkan mini perpustakaan di rumah.
Tiada rak buku besar? Tiada masalah. Mungkin hanya satu ruang kecil, dengan meja dan bakul kecil berisi buku sudah memadai. Apa yang penting ianya berfungsi. Berikan ruang anak dengan buku-buku kegemarannya sejak kecil. Bila tiba masa membaca, sebut ‘mana buku’, automatik anak akan pergi ambil buku pada tempatnya. Jangan lupa rutin ambil dan letak buku semula pada tempatnya diamalkan. Ringan tugas mengemas!
Usah risau berkenaan hasilnya, yang penting adalah proses dan nilai yang diperolehi bersama-sama. Ini juga usaha untuk mencipta kesediaan anak-anak sebelum mahir membaca. Beri mereka cinta buku dahulu, barulah mereka sendiri suka belajar membaca!
Insya-Allah, ada lagi tips akan menyusul!
*Artikel ini ditulis oleh Ibtihaj Saian (Cikgu Ib) – www.facebook.com/kkhplaygroup
Penulis Buku bagi Siri “Adik, Kakak dan Buku” dan “Budi”.
MashaAllah sukanya !
Terima kasih di atas komen yang diberi. Semoga perkongsian tip ini akan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai ibu bapa